Friday, January 21, 2011

Ciri-ciri Membina Keluarga Bahagia

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Ibu bapa merupakan guru terdekat yang harus menunjukkan teladan yang baik "role model". Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,” bagaimana acuan, begitulah kuihnya."
Di samping itu, ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka tidak terjebak dalam gejala negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi.
Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa tidak patut mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-
anak.
Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak harus menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, gengsterisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya.
Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa. Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga harus saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga harus sentiasa membantu dan bekerjasama.
Sebagai kesimpulan, semua ahli keluarga harus memainkan peranan dalam mewujudkan keluarga bahagia. Untuk membina sebuah keluarga bahagia, kasih sayang, toleransi dan nilai-nilai kekeluargaan harus diamalkan oleh setiap ahli keluarga.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

BLOG PENDIDIKAN MORAL