Sunday, February 28, 2010

Definisi Satu Malaysia

'1 MALAYSIA'

(Disediakan oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)

1. PENGENALAN

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep '1 Malaysia' yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

'1 Malaysia'  membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

'1 Malaysia' memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

'1 Malaysia' adalah pemangkin kepada mengujudkan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai '1Malaysia', iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

2. DEFINISI

Konsep '1 Malaysia' menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1 Konsep '1 Malaysia' menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.

Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membatas tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep '1 Malaysia'

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

Melalui konsep '1 Malaysia', YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP '1 MALAYSIA' DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep '1 Malaysia' yang dinyatakan di atas, konsep '1 Malaysia' memiliki kelainan seperti berikut:

3.1 “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep '1 Malaysia' lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2 Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep '1 Malaysia' juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUKAN KONSEP '1 MALAYSIA'

Konsep '1 Malaysia' bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep '1 Malaysia' Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP '1 MALAYSIA' DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep '1 Malaysia' dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan konsep '1 Malaysia', Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya '1 Malaysia', Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT

 '1 Malaysia' bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI '1 MALAYSIA'

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah :


1. Budaya kecemerlangan

2. Ketabahan

3. Rendah hati

4. Penerimaan

5. Kesetiaan

6. Meritokrasi

7. Pendidikan

8. Integriti

Nilai-nilai moral dalam konsep Satu Malaysia ialah toleransi dan hidup bersama secara aman.
Nilai Mengekalkan Tradisi Kekeluargaan
Pantang-larang Tahun Baru Cina

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


2010/02/13   KATA-KATA 'zaman dah moden, dunia dah maju' sememangnya banyak mempengaruhi kehidupan remaja kini namun adat tradisi masih tidak boleh dilupakan sewenang-wenangnya. Begitu juga dengan adat pemberian angpau dan majlis makan beramai-ramai yang lebih dikenali sebagai yee sang.
     Yee sang bermaksud majlis makan beramai-ramai untuk keuntungan di kalangan masyarakat Cina yang menjadi tarikan utama sempena sambutan Tahun Baru Cina.
     Walaupun kehidupan kini yang serba moden, adat resam ini masih dikekalkan dan tetap diamalkan sehingga kini. Malah, kebanyakan remaja Cina masih mempercayai dan mengamalkan adat berkenaan supaya ia dapat dipertahankan sepanjang zaman.
     Antara yang masih dipertahankan ialah pantang larang ketika sambutan perayaan terbabit iaitu tidak boleh menyapu rumah pada hari pertama sambutan kerana menganggap ia boleh membuang segala keuntungan yang ada.
     Loi Bee Theng, 23, berkata, sama seperti masyarakat lain, kaum Cina juga menyambut kedatangan tahun baru dengan meriah yang diyakini dapat memberikan lebih kemakmuran dan kekayaan kepada mereka. Katanya, mereka akan pastikan tidak akan melakukan perkara yang boleh merosakkan pembawaan keuntungan dalam kehidupan untuk satu tahun mendatang.
     Masyarakat Cina turut percaya bahawa mereka akan ditimpa malang jika pinggan mangkuk yang digunakan pada hari sambutan pecah. Oleh itu, mereka akan pastikan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerja rumah supaya tiada petanda buruk boleh berlaku kepada keluarga mereka.
     Malah, menurut gadis ini, acara makan beramai-ramai paling dinantikan ketika sambutan berkenaan kerana ia dapat memperlihatkan perpaduan dan keakraban sesebuah keluarga yang dapat bersama-sama berkumpul bagi merayakannya. Menurutnya, walau sesibuk manapun individu terbabit dengan pelajaran, kerjaya, perniagaan ataupun urusan seharian mereka, sambutan acara ini tidak boleh dilepaskan. "Kita perlu pulang ke kampung berjumpa sanak-saudara memandangkan sesetengah orang mungkin hanya dapat berjumpa keluarga mereka setahun sekali. "Ia adalah perkara wajib yang perlu dilakukan bagi menunjukkan tanda terima kasih kepada keluarga seluruhnya," katanya ketika ditemui di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
     Sementara itu, Ong Huey Shyan, 23, berkata sungguhpun kini kebanyakan remaja tidak lagi mengenakan pakaian tradisional seperti dulu, ini tidak bermakna segala tradisi turut dilupakan. Kami masih mengenakan pakaian berwarna merah dan mengelakkan pemakaian baju warna hitam kerana beranggapan ketika menyambut sesuatu perayaan, kita perlu kelihatan ceria," katanya.
     Selain itu, pemberian angpau masih tetap diamalkan iaitu bagi pasangan berkahwin mereka perlu memberikan angpau kepada kanak-kanak dan mereka yang belum berkahwin. "Ia sememangnya dinanti-nantikan kerana pada ketika ini saya dapat mengumpulkan banyak angpau daripada sanak-saudara. "Malah, sekiranya individu berkenaan sudah lanjut usia, tetapi masih belum berkahwin, dia tetap akan mendapat pemberian angpau. Sama ada dia menerimanya ataupun tidak, bergantung kepada individu berkenaan," katanya.
     Cindy Lee Ker Sin, 23, pula menjelaskan kewujudan pantang-larang adalah untuk membimbing perlakuan supaya tidak termasuk dalam kategori masyarakat tidak beradab. Mungkin ramai tidak mempercayainya kerana menganggap ia sesuatu yang tidak boleh diterima pakai tetapi bagi mereka yang mengamalkannya, ia membantu dalam menjadikan kehidupan lebih bermakna.
     Baginya sendiri, perayaan, adat resam dan pantang-larang yang diperturunkan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadikan siapa diri seseorang itu hari ini. "Kita perlu memeliharanya supaya tidak terus tenggelam dalam arus kemodenan dunia tanpa sempadan kini. "Selain kita sebagai generasi muda, siapa lagi yang boleh membantu mengekalkannya untuk tatapan dan pengetahuan generasi akan datang," katanya.
     Bagaimanapun, berlainan pula dengan Kenneth Kang, 24, yang tidak lagi mengamalkan adat tradisi ini selepas kematian neneknya. Menurutnya, dia sekeluarga tidak begitu mengamalkan adat tradisi itu kerana kurang mempercayainya namun ada sebahagian yang masih diamalkan. "Kami masih mengamalkan acara makan beramai-ramai sebelum Tahun Baru Cina kerana pada ketika itu, ia memberikan banyak kegembiraan dengan berkumpul semula bersama keluarga. "Lebih-lebih lagi semua sanak-saudara berada jauh di perantauan dan ketika itulah kami dapat bersemuka dan bergembira bersama," katanya.

Semua murid 4UPM harus menulis cara-cara mengamalkan nilai mengekalkan tradisi kekeluargaan dalam bentuk peta minda. Tulis dalam buku nota.

Saturday, February 27, 2010

Pembentangan 5 USM

PERHATIAN,

Semua murid 5 USM diingatkan untuk membuat pembentangan kerja kumpulan pada hari Isnin, 1/3/2010. Tulis isi-isi penting di kertas mahjong dengan menggunakan pen marker. Tulisan harus besar, kemas dan jelas. Bawa pelekat untuk menampal kertas mahjong di papan hitam. Semasa pembentangan kerja kumpulan dijalankan, murid-murid lain harus senyap dan memberi perhatian kepada rakan yang sedang membuat pembentangan.

Oleh kerana semua murid 5USM gagal membentang hasil kerja kumpulan, tarikh pembentangan telah ditunda ke hari Rabu, 3/3/2010. Cikgu berharap peluang yang diberi dihargai. Amalkan nilai amanah, bertanggungjawab dan kerajinan.

Pertandingan Melukis Poster

PERHATIAN,

Murid-murid yang berbakat dalam melukis dan mewarna poster digalakkan mengambil bahagian dalam pertandingan melukis poster anjuran Panitia Pendidikan Moral.  Sila berjumpa dengan Pn. Sia pada hari Khamis, 4/3/2010.

Wednesday, February 24, 2010

UJIAN 1 2010

Semua murid Tingkatan 4 dikehendaki menghafal nilai-nilai dalam bidang perkembangan diri untuk menjawab 4 soalan struktur dan 1 soalan esei. Jawab mengikut format yang telah diajar.

Semua murid Tingkatan 5 dikehendaki membaca buku teks Tingkatan 4 atau buku nota untuk menjawab 4 soalan struktur dan 1 soalan esei. Jawab mengikut format yang telah diajar.

Saturday, February 20, 2010

Latihan Soalan Struktur - Sumbangan Kanisha Sre, 5 USM

1.Huraikan dua nilai yang sepatutnya diamalkan oleh ibu bapa bagi mewujudkan keluarga bahagia. (4 markah)
Ibu bapa patut mengamalkan nilai kasih sayang terhadap keluarga. Ibu bapa perlu mempunyai perasaan cinta yang mendalam terhadap keluarga. Selain itu, ibu bapa patut mengamalkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga. Ibu bapa perlu melaksanakan tugas untuk tujuan melahirkan keluarga bahagia.

2. Huraikan dua nilai yang sepatutnya diamalkan oleh anak-anak untuk mewujudkan keluarga bahagia. (4 markah)
Anak-anak perlu mengamalkan nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga. Mereka harus berinteraksi dan memberi layanan sopan untuk mewujudkan keluarga harmoni. Nilai kedua yang patut diamalkan oleh anak-anak ialah tanggungjawab terhadap keluarga. Mereka perlu melaksanakan kewajipan sebagai anak untuk melahirkan keluarga bahagia.

Latihan Soalan Struktur - Sumbangan Nirosha, 5 USM

1.   Andaikan rakan mengajak anda melakukan perbuatan-perbuatan berikut :
     menipu, merokok, berjudi, berlumba haram, mencuri, berbohong dan mengambil dadah
a)  Nyatakan nilai yang patut diamal oleh remaja?  (3 markah)
Nilai yang patut diamal oleh remaja dalam situasi di atas ialah harga diri. Remaja harus mengenal tanggungjawab mereka untuk memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, remaja harus mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kegiatan yang tidak berfaedah seperti menipu, merokok, mencuri dan lain-lain tingkah laku yang tidak sihat.

Friday, February 19, 2010

Kesilapan Tugasan Harian kelas 4 UPM

Antara kesilapan yang dikenal pasti dalam menyemak tugasan harian murid-murid 4 UPM ialah :
a)   Ejaan
b)   Struktur ayat
c)   Penggunaan imbuhan
d)   Tidak menggaris nilai moral
e)   Menggaris kata kunci nilai moral
f)   Tidak menulis nilai moral mengikut tajuk tugasan harian
g)   Terlalu banyak nilai moral dalam tugasan harian

Saturday, February 6, 2010

Latihan 4 UPM - Nilai Bertanggungjawab

1.  Jadual Waktu Harian Bagi Tempoh Seminggu

  Semua murid 4 UPM dikehendaki merancang jadual waktu harian untuk memupuk nilai bertanggungjawab dan menggunakan masa lapang dengan berfaedah. Jadual ini dapat membantu murid-murid mengagihkan masa dengan bijak untuk belajar, melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum, dll.

Tarikh hantar : Selepas Cuti Tahun Baru Cina
(Cikgu harap semua murid 4 UPM akan merancang jadual sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain untuk melakukan tugasan yang diberi. Ingat kepentingan nilai berdikari dan amanah!)

BLOG PENDIDIKAN MORAL