Monday, May 17, 2010

Tips Hilangkan Rasa Gemuruh Ketika Peperiksaan

  6 cara untuk membuat anda tenang sebelum peperiksaan :

1. Beri semangat pada diri sendiri melalui kata-kata “aku boleh”.

Kita tidak tenang sebelum peperiksaan bermula sebab kita tidak tahu apa yang akan kita jumpa nanti dalam kertas soalan. Kita jadi takut. Untuk nak tenang sebelum peperiksaan, buang ketakutan sedikit demi sedikit dengan memberi kata-kata semangat, mengatakan yang anda boleh jawapan soalan tu satu persatu. Katakan pada diri anda,  “aku boleh buat” atau “aku boleh jawab dengan baik, aku boleh, aku boleh!”.

2. Gunakan mindset berani gagal.

Bila anda berani gagal dan menanam sikap berani gagal, rasa gementar dan gugup tu akan hilang perlahan-lahan berganti dengan keberanian. Setelah kita buang ketakutan, gantikannya cepat-cepat dengan mentaliti berani gagal, berani mendepani apa jua yang akan terjadi. Anda akan bersemangat tiba-tiba. Ramai daripada kita gementar saat menghadapi peperiksaan sebab kita mendepani sesuatu yang tak pasti dan kita takut tak ‘perform well’ ketika menjawab soalan peperiksaan.

3. Bayangkan ketenangan diri anda semasa menjawab kertas soalan.

Fokus pada menikmati ketenangan supaya kita dapat menghilangkan kegugupan. Tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan dalam kiraan 7 saat. Teknik pernafasan ini membuat anda tenang, menghilangkan gemuruh serta bagus untuk menghalang ‘mental block’. I dea-idea untuk menjawab soalan peperiksaan akan lancar mengalir apabila kita tenang.

4. Jika anda sudah belajar dan bersedia, tidak ada sebab untuk anda ‘nervous’.

Biasanya, kita gusar sebelum peperiksaan sebab kita rasa kita tidak cukup bersedia untuk menjawab soalan peperiksaan itu. Bila kita sudah belajar, sudah mengulangkaji dan bersedia menjawab soalan yang akan keluar nanti biasanya kita tidak akan gugup. Biasanya kita akan yakin. Lainlah kalau study last minit, memang kita berasa gemuruh.
Bila kita sudah belajar, kita tidak akan sabar untuk melihat apa yang ada di dalam kertas soalan itu. Kita tidak sabar nak merasa ‘thrill’nya menjawab soalan.
Kita tidak akan rasa gementar langsung, bahkan tidak sabar nak ‘mengerjakan’ kertas soalan dengan jawapan-jawapan yang sudah sedia tersemat di minda kita. Jika sudah belajar, sepatutnya kita rasa yakin menjawab apa jua yang akan ditanya dalam kertas soalan peperiksaan.

5. Ingat wajah-wajah kesayangan anda.

Setiap dari kita pasti ada orang yang kita sayangi. Jika bukan ibu, bapa atau adik beradik kita, mungkin wajah guru-guru kita. Cinta dapat mewujudkan ketenangan walaupun anda berada dalam suasana yang penuh dengan tekanan seperti waktu menghadapi peperiksaan.
Ingat dan bayangkan wajah-wajah kesayangan anda, hadirkan rasa kecintaan yang mendalam di hati anda untuk membuat anda tenang, bebas dari rasa gemuruh. Niatkan perjuangan anda belajar adalah untuk mereka.
Jika dipandang dari aspek positif, rasa gemuruh atau rasa tidak tenang sebelum menjawab peperiksaan sebenarnya tindakan hormon adrenalin yang dirembes oleh tubuh kita sebagai signal biologi untuk membuat kita bersedia dari segi emosi.
Apabila kita teringat seseorang yang kita cintai, serta merta tubuh badan kita merembes satu jenis bahan kimia yang akan meneutralkan hormon adrenalin, lantas membuat debaran kita menjadi perlahan, semakin perlahan lalu menghilang sedikit demi sedikit. Itulah penangan cinta.

6. Ingat masa depan anda.

Hilangkan rasa gemuruh dengan membayangkan masa depan anda. Kecemerlangan dalam akademik akan menentukan masa depan kita.
Bayangkan cara hidup yang kita ingin nikmati, bayangkan anda dapat jawatan tetap, memiliki rumah sendiri, kereta sendiri atau perniagaan sendiri. Bayangkan selalu supaya rasa gugup bertukar menjadi rasa bersemangat ingin buat yang terbaik sebab anda nak melakar masa depan yang cemerlang pada hari ini.
Biar kita yang mengawal rasa gemuruh, bukan diri kita yang dikawal oleh rasa gemuruh. Jika masih juga gemuruh, beritahu diri anda yang anda ingin rasai ketenangan. Katakan “aku mahu tenang”, ulangi berkali-kali.
Lakukan latihan pernafasan – tarik nafas melalui hidung selama 7 saat, tahan 3 saat, hembus perlahan-lahan selama 7 saat, seperti yang dikatakan di atas tadi.

Peperiksaan Pertengahan Tahun

Semua murid harus menghafal kata kunci nilai untuk menulis penerangan. Murid-murid Tingkatan 4 akan diuji sehingga Bidang Kekeluargaan manakala murid-murid Tingkatan 5 harus membaca kandungan akademik buku teks Tingkatan 4.


"Face the fear and do it anyway"
Sikap suka bertangguh adalah pembunuh kepada peluang.

 

Tuesday, May 11, 2010

Keruntuhan Akhlak Pelajar

Status guru dan peranannya tidak dapat dinafikan dapat membentuk masyarakat ke arah kewujudan tamadun manusia yang lebih gemilang. Namun begitu, apa yang dapat dilihat institusi perguruan tidak lagi dihormati dan dipandang sebagai institusi yang dapat memberikan kesan yang positif. Kepincangan demi kepincangan hadir dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat yang seimbang dari segi mental dan rohani. Malah masalah sosial yang melanda pelajar-pelajar kita hari ini semakin dirasa dengan peningkatan kes yang melibatkan pihak polis. Apabila kita digemparkan dengan "kemajuan" gejala-gejala sosial ini masyarakat kita akan cepat merasa gusar dan kecewa malah ada yang menunding jari kepada orang lain, kumpulan tertentu sebagai yang bersalah.

Jika dahulu status guru begitu disanjung tinggi sehingga masih berkekalan panggilan "cikgu" walaupun seorang guru telah bersara. Keadaan ini menunjukkan bahawa jasa seorang guru begitu besar sehingga dikenang selamanya. Berbeza dengan hari ini status guru tidak lagi dipandang mulia malah setengahnya pula menjadi sasaran sebagai tempat memikul segala kesalahan.

JENIS-JENIS KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN DI KALANGAN PELAJAR

Keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin pelajar boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelajar.

Salah Laku Pelajar Di Sekolah

Kajian yang dilakukan oleh T. Subahan Mohd. Meerah et.al. di dalam artikel yang bertajuk Masalah Disiplin Pelajar dan Penyelesaian oleh Mohd Tajudin (1995) ke atas 20 orang guru pelatih yang pernah membuat latihan mengajar bagi sesi persekolahan 1987/1988 di beberapa buah sekolah menengah juga menunjukkan jenis salah laku yang dilakukan oleh pelajar iaitu:

Ponteng

Dalam kategori ini, salah laku ponteng sekolah ialah 50%, ponteng kelas 40 %, dan kerap keluar kelas 25%.

Tidak Patuh Arahan

Kategori ini mencakupi salah laku seperti tidak memberi perhatian terhadap pelajaran sebanyak 30%, tidak membuat kerja rumah sebanyak 25%, tidak membawa buku sebanyak 10%, tidur dalam kelas sebanyak 10% dan tidak boleh mengikuti pelajaran yang diajar sebanyak 5%.

Gangguan Pengajaran

Kategori ini, antara jenis-jenisnya ialah buat bising (30%), merosakkan alat bantu mengajar (20%), mengganggu kawan semasa proses pengajaran guru (15%) dan mempertikaikan pengajaran guru (10%).

Tidak Sopan

Dalam kategori salah laku tidak sopan ini ialah berpakaian tidak kemas (25%), bercakap kasar dengan guru (25%).

Kes Jenayah Remaja

Pandangan golongan radikal terhadap kelemahan fungsi sekolah ini menyebabkan sekolah dikritik dan dilabelkan sebagai punca pembiakan delinkuensi dalam masyarakat. Pelbagai masalah juvanalisme atau jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja di sekolah seperti menjadi samseng, menyertai geng motosikal, memeras ugut, menumbuk guru, menjahanamkan harta sekolah, mencuri, menipu, merogol, berjudi dan memabuk mencerminkan kelemahan institusi sekolah sebagai mekanisme pengawalan sosial remaja. Dari satu segi yang lain, meningkatnya pelbagai gejala sosial dan jenaya remaja ini menggambarkan satu manisfestasi krisis dan keruntuhan moral yang tinggi dalam masyarakat. Jenayah remaja adalah produk sosial dan produk budaya masyarakat keseluruhannya.

RASIONALNYA KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN PELAJAR BERPUNCA DARI GURU

Disiplin adalah asas utama mekanisme pengawalan sekolah. Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkah laku yang mulia. Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru harus menunjukkan komitmen dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin. Kelemahan yang jelas di sekolah yang menjadi punca keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin berleluasa dalam kalangan pelajar ialah guru-guru tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin. Disiplin sekolah secara rasminya adalah menjadi tanggungjawab guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar guru-guru di sekolah mengambil sikap lepas tangan dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin yang dilakukan oleh murid-murid samada di sekolah mahupun di luar sekolah. Murid-murid yang nakal dan suka melanggar disiplin menjadi lebih berani dan bebas melakukan perbuatan yang melanggar peraturan dan undang-undang kerana mereka tahu guru-guru tidak mempunyai kuasa yang boleh dilakukan ke atas mereka. Malah dalam keadaan tertentu, murid-murid ini dengan berani mencabar kewibawaan guru yang mereka tidak sukai.

Bagi setengah-setengah guru yang merasa keselamatan mereka terancam akan mengambil sikap tidak peduli dan membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh murid-murid yang bermasalah ini. Masyarakat guru terpaksa membodohkan diri mereka sendiri, membutakan mata, membisukan suara dan membenamkan rasa kekecewaan mereka sebagai golongan pendidik yang dayus dan tidak berwibawa.


*Cikgu berharap pelajar-pelajar SMKBPJA menerima nasihat dan teguran daripada semua guru SMKBPJA secara terbuka dan positif.

Friday, May 7, 2010

Selamat Hari Ibu

Cikgu berharap murid-murid akan meraikan Hari Ibu bersama ibu anda. Hargailah jasa dan pengorbanan ibu anda.

Jasa dan Pengorbanan Guru

"Selamat sejahtera cikgu!” Itulah di antara kata-kata hikmat yang diucapkan kepada guru setiap hari. Kata-kata tersebut dilafazkan sama ada di bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Oleh itu, seorang murid perlu sentiasa menghormati guru tidak kira di mana sahaja berada.

Menghormati guru sama seperti kita menghormati ibu bapa kita. Guru berada bersama murid selama hampir tujuh jam sehari. Jumlah ini tidak termasuk waktu menjalankan aktiviti kokurikulum.

Guru bukan sahaja menjalankan tugas untuk mengajar tetapi mempunyai berbagai tanggungjawab yang lain.

Pembimbing : Guru kita ialah seorang pembimbing yang sentiasa memberi nasihat, teguran, tunjuk ajar dan pedoman ke arah kehidupan yang lebih sempurna. Kata-kata nasihat yang diberikan tidak seharusnya diambil ringan. Ia harus dihormati dan digunakan dalam kehidupan. Ia juga merupakan seorang motivator yang sentiasa membakar semangat murid-murid ketika berada dalam keadaan yang kecewa untuk terus berusaha menghadapi cabaran dan menempah kejayaan.

Penjaga : Selain daripada pembimbing guru juga merupakan seorang penjaga kerana pada masa itu ibu bapa murid sedang bekerja. Oleh itu sebagai seorang penjaga tindakan mereka samalah seperti tindakan ibu bapa murid-murid sendiri. Ada ketikanya seseorang guru itu marah dan mengenakan denda sekiranya murid-murid melakukan kesilapan atau melanggari peraturan sekolah. Ada ketikanya pula guru-guru akan gembira dan memberi ganjaran jika murid-muridnya berkelakuan baik dan menumpukan segala perhatian terhadap pelajaran.

Pemudahcara : Guru juga merupakan seorang pemudahcara iaitu menyelesaikan masalah murid terutamanya dalam pembelajaran. Murid bebas bertanya kepada guru tentang masalah pembelajarannya sekiranya murid tidak memahami sesuatu topik. Walau bagaimanapun usaha yang gigih dan ikhlas daripada murid perlulah digandakan dan janganlah terlalu mengharapkan bantuan guru semata-mata. Dengan hanya mengharapkan bantuan guru sahaja akan menjadikan seseorang murid itu malas.

Guru tidak meminta apa-apa balasan daripada murid atas segala tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan. Harapan mereka agar segala tindakan yang mereka lakukan itu dapat dihargai oleh murid-murid dengan mengikuti segala nasihat yang diberi dan digunakan dalam kehidupan.

Tuesday, May 4, 2010

Nilai Bertanggungjawab

Setiap insan di dunia harus bertanggungjawab dan melaksanakan semua tugas supaya kita boleh hidup sempurna. Kita harus bersopan-santun agar disayangi ibu bapa dan guru-guru. Kita harus bertanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan negara. Kita mesti membantu antara satu sama lain dengan ikhlas. Janganlah bercakap bohong kerana kita ingin orang mempercayai kita. Sikap jujur, amanah dan taat setia adalah tanggungjawab kita.

Kepentingan Kitar Semula

Apakah makna mengitar semula? Kitar semula boleh ditafsirkan sebagai memproses barang-barang lama untuk dijadikan barang-barang baru. Ini termasuklah menggunakan semula barang-barang tersebut seperti yang asal ataupun memberinya kepada orang yang boleh menggunakannya. Barang-barang yang boleh dikitar semula ialah seperti keras, plastik, kertas kadbod, kaca dan pakaian.

Ibu bapa harus mengasuh anak-anak supaya menyayangi dan menghargai alam sekitar. Kitar semula penting untuk kelestarian alam sekitar. Justeru usaha meningkatkan kesedaran dan keprihatian terhadap alam sekitar perlu dipupuk sejak kanak-kanak lagi. Pendidikan tentang kepentingan kitar semula sewajarnya diajar kepada kanak-kanak berusia antara empat dan lima tahun. Ini kerana pada tahap umur tersebut mereka mudah dididik dan patuh pada arahan. Oleh itu, cikgu harap mereka dapat mengamalkan tabiat tersebut sehingga dewasa.

Masyarakat Malaysia harus mengamalkan kitar semula. Masyarakat perlu tahu mengasing dan mengenal pasti jenis sampah mengikut tong kitar semula. Masyarakat perlu mempunyai kesedaran untuk mengekalkan kehijauan bumi ini. Kehijauan ini termasuk fauna atau hidupan lain selain flora atau tumbuhan.

BLOG PENDIDIKAN MORAL