Tuesday, May 11, 2010

Keruntuhan Akhlak Pelajar

Status guru dan peranannya tidak dapat dinafikan dapat membentuk masyarakat ke arah kewujudan tamadun manusia yang lebih gemilang. Namun begitu, apa yang dapat dilihat institusi perguruan tidak lagi dihormati dan dipandang sebagai institusi yang dapat memberikan kesan yang positif. Kepincangan demi kepincangan hadir dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat yang seimbang dari segi mental dan rohani. Malah masalah sosial yang melanda pelajar-pelajar kita hari ini semakin dirasa dengan peningkatan kes yang melibatkan pihak polis. Apabila kita digemparkan dengan "kemajuan" gejala-gejala sosial ini masyarakat kita akan cepat merasa gusar dan kecewa malah ada yang menunding jari kepada orang lain, kumpulan tertentu sebagai yang bersalah.

Jika dahulu status guru begitu disanjung tinggi sehingga masih berkekalan panggilan "cikgu" walaupun seorang guru telah bersara. Keadaan ini menunjukkan bahawa jasa seorang guru begitu besar sehingga dikenang selamanya. Berbeza dengan hari ini status guru tidak lagi dipandang mulia malah setengahnya pula menjadi sasaran sebagai tempat memikul segala kesalahan.

JENIS-JENIS KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN DI KALANGAN PELAJAR

Keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin pelajar boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelajar.

Salah Laku Pelajar Di Sekolah

Kajian yang dilakukan oleh T. Subahan Mohd. Meerah et.al. di dalam artikel yang bertajuk Masalah Disiplin Pelajar dan Penyelesaian oleh Mohd Tajudin (1995) ke atas 20 orang guru pelatih yang pernah membuat latihan mengajar bagi sesi persekolahan 1987/1988 di beberapa buah sekolah menengah juga menunjukkan jenis salah laku yang dilakukan oleh pelajar iaitu:

Ponteng

Dalam kategori ini, salah laku ponteng sekolah ialah 50%, ponteng kelas 40 %, dan kerap keluar kelas 25%.

Tidak Patuh Arahan

Kategori ini mencakupi salah laku seperti tidak memberi perhatian terhadap pelajaran sebanyak 30%, tidak membuat kerja rumah sebanyak 25%, tidak membawa buku sebanyak 10%, tidur dalam kelas sebanyak 10% dan tidak boleh mengikuti pelajaran yang diajar sebanyak 5%.

Gangguan Pengajaran

Kategori ini, antara jenis-jenisnya ialah buat bising (30%), merosakkan alat bantu mengajar (20%), mengganggu kawan semasa proses pengajaran guru (15%) dan mempertikaikan pengajaran guru (10%).

Tidak Sopan

Dalam kategori salah laku tidak sopan ini ialah berpakaian tidak kemas (25%), bercakap kasar dengan guru (25%).

Kes Jenayah Remaja

Pandangan golongan radikal terhadap kelemahan fungsi sekolah ini menyebabkan sekolah dikritik dan dilabelkan sebagai punca pembiakan delinkuensi dalam masyarakat. Pelbagai masalah juvanalisme atau jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja di sekolah seperti menjadi samseng, menyertai geng motosikal, memeras ugut, menumbuk guru, menjahanamkan harta sekolah, mencuri, menipu, merogol, berjudi dan memabuk mencerminkan kelemahan institusi sekolah sebagai mekanisme pengawalan sosial remaja. Dari satu segi yang lain, meningkatnya pelbagai gejala sosial dan jenaya remaja ini menggambarkan satu manisfestasi krisis dan keruntuhan moral yang tinggi dalam masyarakat. Jenayah remaja adalah produk sosial dan produk budaya masyarakat keseluruhannya.

RASIONALNYA KERUNTUHAN AKHLAK DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN PELAJAR BERPUNCA DARI GURU

Disiplin adalah asas utama mekanisme pengawalan sekolah. Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkah laku yang mulia. Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru harus menunjukkan komitmen dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin. Kelemahan yang jelas di sekolah yang menjadi punca keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin berleluasa dalam kalangan pelajar ialah guru-guru tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin. Disiplin sekolah secara rasminya adalah menjadi tanggungjawab guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar guru-guru di sekolah mengambil sikap lepas tangan dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin yang dilakukan oleh murid-murid samada di sekolah mahupun di luar sekolah. Murid-murid yang nakal dan suka melanggar disiplin menjadi lebih berani dan bebas melakukan perbuatan yang melanggar peraturan dan undang-undang kerana mereka tahu guru-guru tidak mempunyai kuasa yang boleh dilakukan ke atas mereka. Malah dalam keadaan tertentu, murid-murid ini dengan berani mencabar kewibawaan guru yang mereka tidak sukai.

Bagi setengah-setengah guru yang merasa keselamatan mereka terancam akan mengambil sikap tidak peduli dan membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh murid-murid yang bermasalah ini. Masyarakat guru terpaksa membodohkan diri mereka sendiri, membutakan mata, membisukan suara dan membenamkan rasa kekecewaan mereka sebagai golongan pendidik yang dayus dan tidak berwibawa.


*Cikgu berharap pelajar-pelajar SMKBPJA menerima nasihat dan teguran daripada semua guru SMKBPJA secara terbuka dan positif.

No comments:

Post a Comment

BLOG PENDIDIKAN MORAL