Sunday, January 31, 2010

Latihan kelas 4 UPM

1.  Huraikan dua nilai yang diamalkan oleh setiap penganut tanpa mengira agama.  (4 markah)

2.  Nyatakan tiga aktiviti yang boleh mewujudkan perpaduan kaum.  (3 markah)

3.  Berikan tiga kesan sekiranya tidak wujud perpaduan kaum. 
     (3 markah)

                        Tarikh Hantar : 5/2

Masih ada murid yg belum hantar sungguhpun tarikh hantar telah dianjak ke hari Sabtu. Cikgu harap murid-murid ini hantar secepat mungkin. Ingat nilai kerajinan dan bertanggungjawab!

Soalan Esei (Kanisha Sre - 5USM) Diubahsuai oleh Pn. Sia

Bincangkan nilai-nilai yang seharusnya diamalkan oleh setiap pelajar supaya masalah disiplin dapat dihindari. (10 markah)

    Nilai yang patut diamalkan oleh setiap pelajar ialah mematuhi peraturan dan undang-undang. Setiap pelajar perlu menerima peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Contohnya, tidak membawa barang larangan seperti telefon bimbit dan kosmetik ke sekolah. Selain itu, setiap pelajar juga perlu mematuhi peraturan dan undang-undang sekolah. Contohnya, tidak keluar dari kelas tanpa pas keluar.
Nilai kedua yang patut diamalkan oleh setiap pelajar untuk menghindari masalah disiplin ialah nilai kesederhanaan. Setiap pelajar tidak boleh bersikap keterlaluan dalam perlakuan. Contohnya, tidak melakukan vandalisme kerana menghargai kemudahan dan harta benda sekolah. Setiap pelajar juga mesti bersikap tidak keterlaluan dalam pertuturan. Oleh itu, setiap pelajar menghormati guru-guru yang telah bersusah payah mengajar dan mendidik mereka.

Soalan Struktur (Nirosha - 5USM)

1. Huraikan satu nilai yang diamalkan oleh pelajar?  (3 m)
   Sebagai seorang pelajar, saya mengamalkan nilai kerajinan.
   Saya mempunyai usaha yang berterusan dalam bidang akademik.  Selain itu, saya tekun menyiapkan latihan yang diberi oleh guru-guru sekolah.

Friday, January 22, 2010

LATIHAN SOALAN STRUKTUR


Pencemaran sungai semakin berlarutan menyebabkan banyak kawasan yang berpotensi untuk dijadikan tempat pelancongan telah terjejas. Pelbagai kempen kesedaran tentang kepentingan sungai telah pun dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan NGO. Namun demikian, masih ramai yang mengabaikannya dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan sungai.

(a) Terangkan dua nilai yang harus diamalkan oleh rakyat untuk memastikan sungai tidak tercemar.
     (4 markah)

(b) Nyatakan dua sebab berlakunya pencemaran sungai. 
     (2 markah)

(c) Flora dan fauna penting untuk mengekalkan keseimbangan alam sekitar. Nyatakan dua kesan buruk sekiranya flora dan fauna digunakan tanpa mengambil kira perancangan yang mapan.  
    (2 markah)

(d) Nyatakan dua projek atau aktiviti yang memerlukan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (PKAS) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum dilaksanakan oleh pemaju.   (2 markah)

*Semua pelajar 5 USM dikehendaki menjawab soalan di atas.
Tarikh hantar buku latihan : 3/2

Thursday, January 14, 2010

CONTOH SOALAN ESEI

Usaha-usaha untuk memperkasakan institusi kekeluargaan merupakan agenda utama pembangunan negara kerana kerajaan menyedari bahawa institusi ini sedang menghadapi keretakan yang serius. Pada pendapat anda, bagaimanakah anggota keluarga harus memainkan peranan untuk memperkukuhkan institusi keluarga.
Berikan jawapan anda berdasarkan nilai-nilai murni. (10 markah)

          Anggota keluarga harus mengamalkan nilai kasih sayang terhadap keluarga untuk memperkukuhkan institusi keluarga.  Anggota keluarga perlu mempunyai cinta yang mendalam antara satu sama lain untuk mengelakkan keretakan keluarga. Contohnya, tidak bergaduh sesama anggota keluarga.  Selain itu, anggota keluarga perlu mencurahkan kasih sayang yang berkekalan terhadap anggota keluarga.  Contohnya, abang menyayangi adik.  Nilai kedua yang harus diamalkan anggota keluarga ialah hormat dan taat kepada anggota keluarga.  Anggota keluarga harus memuliakan setiap anggota keluarga.  Sebagai contoh, menerima dan menghormati pendapat anggota keluarga.  Selain itu, anggota keluarga harus berinteraksi dan memberi layanan yang bersopan terhadap anggota keluarga.  Contohnya, melayan setiap anggota keluarga dengan baik tanpa mengira umur.

Jawapan esei saudari Lee Siew Fong, 4UPM.
Diubahsuai oleh Pn. Sia


Pada pendapat saya, anggota keluarga harus mengamalkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga. Setiap anggota keluarga perlu mempunyai kewajipan terhadap anggota keluarga yang lain. Sebagai contoh, setiap anggota keluarga menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sempurna. Selain itu, setiap anggota keluarga perlu meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga. Contohnya, anggota keluarga sentiasa menjaga perlakuan dalam aktiviti seharian untuk menjaga maruah keluarga. Anggota keluarga juga perlu mengamalkan nilai kasih sayang terhadap keluarga. Setiap anggota keluarga perlu mempunyai perasaan cinta, kasih dan sayang terhadap anggota keluarga yang lain. Sebagai seorang anggota keluarga, kita perlu menyayangi setiap anggota keluarga dan mengelakkan pertelingkahan. Setiap anggota keluarga perlu mempunyai perasaan cinta yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga. Kita perlu menyayangi anggota keluarga sepanjang masa.

Jawapan esei di atas telah diubahsuai dari jawapan saudari Chan Soo Hian, 4UPM.

Wednesday, January 13, 2010

NILAI-NILAI MORAL DAN PENERANGANNYA


Nilai Penerangan/Definisi

1 Kepercayaan kepada Tuhan
Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhannya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara.

2 Amanah
Sikap bertanggungjawab
yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain.

3 Harga Diri
Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.

4 Bertanggungjawab
Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.

5 Hemah Tinggi
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.

6 Toleransi
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.

7 Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.

8 Kerajinan
Usaha yang berterusan
penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.

9 Kasih Sayang
Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.

10 Keadilan
Tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.

11 Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan berasaskan pertimbangan yang wajar.

12 Kesederhanaan
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.

13 Kasih sayang terhadap keluarga
Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga.

14 Hormat dan taat kepada anggota keluarga
Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmonis.

15 Mengekalkan tradisi kekeluargaan
Menerima, menghormati dan mengamalkan sesuatu kebiasaan, adat dan kepercayaan yang diwarisi secara turun temurun dalam keluarga.

16 Tanggungjawab terhadap keluarga
Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia, meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.

17 Menyayangi dan menghargai alam sekitar
Kesedaran tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekeliling untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem.

18 Keharmonian antara manusia dengan alam sekitar
Keadaan saling memerlukan hubungan yang harmonis antara manusia dengan alam sekeliling supaya kualiti kehidupan manusia dan alam sekeliling terpelihara.

19 Kemapanan alam sekitar
Pengekalan keseimbangan alam sekeliling sebagai tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan hidup.

20 Peka terhadap isu-isu alam sekitar
Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling dan berusaha menyelesaikannya.

21 Cinta akan Negara
Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan Negara melebihi kepentingan diri.

22 Taat Setia kepada Raja dan Negara
Kepatuhan dan kesetiaan yang berkekalan kepada Raja dan Negara.

23 Sanggup berkorban untuk Negara
Kerelaan melakukan atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian untuk Negara.

24 Melindungi hak kanak-kanak
Membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna.

25 Menghormati hak wanita
Melindungi dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

26 Melindungi hak pekerja
Menghormati, menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan, jasa dan sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan negara.

27 Menghormati hak golongan kurang berupaya
Memberi layanan yang bersopan kepada golongan kurang berupaya supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan.

28 Melindungi hak pengguna
Membela dan memelihara hak individu untuk menjadi pengguna yang berilmu, mendapat perkhidmatan serta barangan yang berkualiti dan tidak mudah dieksploitasi.

29 Mematuhi peraturan dan undang-undang
Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira sesiapa dan di mana seseorang itu berada.

30 Kebebasan bersuara
Kebebasan berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman.

31 Kebebasan beragama
Kebebasan setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

32 Penglibatan diri dalam pembangunan Negara
Kebebasan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan Negara dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

33 Sikap keterbukaan
Bersedia memberi dan menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan selaras dengan kebenaran fakta dan norma masyarakat Malaysia.

34 Hidup bersama secara aman
Hidup berbaik-baik antara satu sama lain dengan mengutamakan kedamaian dan keharmonian hidup tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

35 Saling membantu dan bekerjasama
Usaha yang baik dan membina yang dilakukan bersama pada peringkat individu, komuniti atau Negara untuk mencapai sesuatu matlamat.

36 Saling menghormati antara Negara
Menghargai dan memuliakan hubungan antara negara untuk menjamin kesejahteraan sejagat.


PERINGATAN
Pelajar digalakkan untuk menghafal kata-kata kunci setiap nilai (italic). Pelajar mesti menghafal sekurang-kurangnya dua kata kunci. Apabila pelajar diminta untuk menerangkan/menghuraikan/menjelaskan nilai, pelajar perlu menjelaskan kata-kata kunci sahaja. Jangan tulis definisi nilai berkenaan.

Thursday, January 7, 2010

KERJA KURSUS SPM PENDIDIKAN MORAL KERTAS 1225/2
Aktiviti 1 - Tugasan Harian

Calon dikehendaki membuat tugasan seperti menulis karangan, menulis laporan hasil kerja amal, mendapatkan maklumat dari pusat sumber, membuat rencana tentang kegiatan sosial masyarakat dan lain-lain berhubung dengan pembelajaran Pendidikan Moral.


Pertimbangan yang perlu diambil kira :


(a) Guru perlu merancang 8 – 10 tugasan yang berkaitan dengan pembelajaran Pendidikan Moral.
(b) Tugasan yang diberikan hendaklah berasaskan nilai yang hendak dikesan dan dikaitkan dengan isu-isu semasa.
(c) Tugasan hendaklah mengutamakan penghayatan, kesedaran dan kefahaman tentang nilai,pemikiran yang rasional dan pertimbangan moral.
(d) Penulisan untuk tugasan harian ini boleh dijalankan pada bila-bila masa.
(e) Setiap tugasan mestilah lebih kurang 250 patah perkataan dan ditulis pada kertas A4.
(f) Calon hendaklah mendokumentasikan sekurang-kurangnya 8 hasil tugasan harian yang terbaik dan dijadikan folio.

Aktiviti 2 - Kerja Amal

Calon dikehendaki melibatkan diri dalam empat kerja amal yang berkaitan dengan tiga
bidang pembelajaran Pendidikan Moral iaitu :

BIDANG :

Perkembangan Diri
1 aktiviti

Kekeluargaan
1 aktiviti

Alam sekitar
2 aktiviti - *1 aktiviti semasa Tingkatan 4 dan 1 lagi semasa Tingkatan 5


Calon dikehendaki melampirkan bahan seperti sijil penghargaan, surat akuan, gambar atau apa-apa bahan yang boleh dijadikan bukti penglibatan kerja amal yang telah dilakukan.


* Pelajar tidak dibenarkan menandatangani surat akuan sendiri bagi pihak ibu bapa atau guru.
Tindakan akan diambil terhadap pelajar yang meniru tandatangan guru.


Antara kerja amal yang boleh dijalankan ialah :

(i) bergotong royong membersihkan kawasan rumah/sekolah
(ii) mengindahkan atau mencantikkan kawasan perumahan/sekolah
(iii) membimbing pelajar lain terutama yang lemah dalam pelajaran atau permainan
(iv) menyediakan kemudahan sekolah seperti papan tanda dan peti surat
(v) membaikpulih perabot sekolah
(vi) membersihkan taman rekreasi
(vii) mengumpul bahan-bahan bacaan untuk perpustakaan
(viii) membuat kerja amal di rumah orang tua atau anak yatim
(ix) membantu ibu bapa
(x) melakukan kerja-kerja amal lain yang memberi kebaikan kepada masyarakat
Format Peperiksaan SPM


Kertas 1 ( 1225/1 )
Ujian Bertulis

Perkara
Format

Jenis instrument
Ujian bertulis

Jenis item
Subjektif

Bahagian A - struktur
Bahagian B – esei

Bilangan soalan
Bahagian A – 8 soalan (jawab semua)
Bahagian B – 3 soalan (jawab 2)

Jumlah markah
Bahagian A – 80
Bahagian B – 20

Jumlah - 100
Tempoh ujian
2 jam 30 minit

Konstruk
Pengetahuan dan kefahaman 32%
Kemahiran 68%

Cakupan konteks
Mencakupi semua bidang pembelajaran dari tingkatan 4 dan 5
TEKNIK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN
PENDIDIKAN MORAL SPM

Soalan Struktur

Contoh bentuk soalan:
(i) Nyatakan/berikan/tuliskan/catatkan nilai
- 1 nilai diberi 1 markah
Syarat: Nilai yang ditulis mesti betul dari segi ejaan dan susunan kata.

(ii) Huraikan/terangkan/jelaskan nilai
- Terpulang kepada jumlah nilai yang ditanya dan markah yang diperuntukkan dalam soalan.
Syarat: Nilai harus betul, jika tidak, keseluruhan jawapan adalah salah.

Contoh 1: Terangkan 2 nilai……(6markah)
1 N + 1 P + 1 H
1 N + 1 P + 1 H



P = penerangan yang mengandungi kata kunci
H = penerangan kepada contoh amalan nilai


Contoh 2: Jelaskan 1 nilai….(3markah)
1 N + 1 P + 1 H


Contoh 3: Terangkan 3 nilai….(6markah)
1 N + 1 P
1 N + 1 P
1 N + 1 P

Contoh 4: Huraikan 2 nilai….(4markah)
1 N + 1 P
1 N + 1 P

(iii) soalan yang berkaitan dengan maksud /definisi nilai.
Contoh: Berikan maksud nilai (a) di atas.
Syarat: Pemarkahan terpulang kepada jumlah kata kunci nilai tersebut.

(iv) contoh soalan yang berkaitan dengan isi kandungan akademik.
Contoh: berikan /jelaskan kesan/akibat/langkah-langkah/cara-cara/faktor-faktor/tindakan/perkara/peranan/aktiviti

· Berikan – hanya tuliskan kesan/akibat sahaja
· Jelaskan/terangkan – tuliskan jawapan dan diikuti dengan penerangan


(B) Peringatan

(i) Nilai mesti ditulis dengan tepat
(ii) Ejaan mesti betul
(iii) Penambahan dan pengguran inmuhan tidak dibenarkan
(iv) Singkatan kata dalam nilai tidak diterima
(v) Jangan menggunakan perkataan ’tidak’ di hadapan nilai
(vi) Mesti tulis ayat yang lengkap.
(vii) Jika soalan berbunyi : jelaskan dua nilai yang harus/mesti/patut..maka jawapan mesti berbunyi, dua nilai yang harus/mesti/patut...
(viii) Penerangan yang tidak mengandungi kata kunci tidak diberi markah.
(ix) Calon dibenarkan menulis satu jawapan lebih bagi setiap soalan yang ditanya.


Soalan Esei

Peringatan

(i) jawapan harus ditulis dalam satu perenggan sahaja
(ii) jangan senaraikan nilai
(iii) jawapan yang dikehendaki meliputi 2 nilai, 4 penerangan dan 4 huraian sahaja.
(iv) Calon boleh menulis 3 nilai (maksimum)
(v) Penerangan mesti mengandungi kata kunci
(vi) Huraian mestilah perbuatan yang menunjukkan amalan nilai tersebut
(vii) Semua jawapan mesti ditulis dalam ruang yang disediakan. Jawapan yang ditulis dalam A4 yang diikat bersama tidak akan disemak



N1 + P1 + H1 + P2 + H2 = 5 markah

N2 + P3 + H3 + P4 + H4 = 5 markah

Kunci Kejayaan

Setiap pelajar harus menghafal kata kunci nilai moral. Tulis penerangan dengan kata kunci tersebut.

BLOG PENDIDIKAN MORAL